Monday, June 20, 2011

Kisah Tok Wah


Tiba-tiba aku terjaga dari tidur ku. Ku lihat ke atas, kamarku beratapkan langit, dirimbuni dedaunan pohon. Argh! Apa yang berlaku ? Aku cuba bangun, terasa amat berat sekali.

Letih. Sengal. Miang….miang?

Urgh! Akhirnya aku berjaya duduk. Dalam kesamaran mata yang kuyu ini, ku lihat di sekelilingku. Berseorangan di tengah-tengah puluhan pohon buluh. Eh, bukan puluhan, sekelilingku semuanya pohon buluh yang tak berpenghujung banyaknya. Pelik, mengapa aku boleh berada di sini?

Hening. Aman. Tenteram.

Tiada kedengaran apa-apa pun. Sunyi.

Ku lihat ke bawah. Sekujur tubuhku ini tiada pakaian. Apa yang ada hanya sehelai cawat yang dibuat daripada dedaunan buluh yang masih hijau. Dedaunan ini disulam kemas dengan seutas tali. Ku kira tali ini pun dibuat daripada buluh juga.

Adakah aku bermimpi? Ataupun aku berada di dunia bunian? Seingat aku, malam tadi sebelum tidur, rasanya aku berada di hostel universiti. Adakah dunia moden itu mimpi, sekarang ini dunia nyata? Entah, aku pun tidak pasti apa-apa pun sekarang ini.

Kemudian, suara kanak-kanak sayup kedengaran memecah keheningan. Gelak ketawa, hilaian riang ria. Alamak! Hantukah, manusia? Semakin lama semakin dekat bunyi mereka. Berlari-lari ke arah ku. Apa yang harus ku lakukan? Langkah seribu atau tunggu?

Yaahhh!!”, sergah mereka yang tiba-tiba muncul. Terkejut beruk aku. Mereka gelak. Ada empat orang semuanya. Semua dalam lingkungan sembilan atau sepuluh tahun, berpakaian seperti aku, bercawat daun buluh. Baru aku perasan, aku pun sebaya dengan mereka. Tetapi rasanya di dalam mimpi aku di zaman moden itu, aku berumur sekitar awal dua puluhan.

Eh Wah! Aga idi ebu tinro. Oto, lao tase tikkeng bale” kata salah seorang daripada mereka. Hah? Bahasa apa yang mereka tuturkan itu. Langsung tidak pernah ku dengar. “Wah?” Rasanya itu nama timangan aku masa kecil di dalam mimpi itu. Mungkin “Wah” itu nama aku di dalam dunia nyata ini. Aku pun secara spontan terus menganggukkan kepala. Lalu tanganku ditarik mereka sambil berlari-lari entah ke mana.

Akhirnya kami keluar dari hutan buluh itu dan tiba di sebuah teluk yang amat indah. Airnya biru kehijauan, pasirnya halus keputihan. Kami pun berlari-lari ke arah sebuah rakit buluh di sebalik batu besar di tepi pantai itu. Terdapat beberapa batang buluh runcing di atas rakit, tombak barangkali. “Tikkeng bale” kata salah seorang daripada mereka sambil menghulurkan sebilah tombak buluh itu kepada ku. Tiba-tiba aku seolah-olah faham maksud mereka, “Tangkap ikan” kata hati ku. Peliknya selepas itu aku pun seakan boleh berkomunikasi dengan mereka.

Seharian kami menangkap ikan di tengah laut dengan hanya menggunakan tombak buluh. Hasilnya agak lumayan, hampir penuh bakul-bakul ikan. Di atas rakit itu jugalah aku menerangkan kepada rakan-rakan ku bahawa aku telah hilang ingatan. Mungkin disebabkan aku terjatuh lalu terhantuk di dalam hutan buluh pagi tadi. Aku tidak pasti sama ada kami ini rakan-rakan ataupun adik-beradik kerana hubungan kami amat mesra. Menurut Long Parani, yang tertua di antara kami berlima, semua warga kampung kami adalah satu keluarga. Kami berlima telah ditugaskan untuk menangkap ikan oleh Tok Wok, ketua kampung kami yang juga merupakan atuk kami. Aku dikenali sebagai Wah manakala tiga lagi saudara-saudara ku dikenali sebagai Ngah Menabon, Che La dan Cu Mas.

Lewat petang itu, kami berlabuh di pantai di mana kami berlepas pagi tadi. Kami menyusuri semula denai kecil di dalam hutan buluh itu. Kami amat berpuas hati dengan hasil tangkapan hari ini, cukup untuk bekalan beberapa hari penduduk kampung. Nampaknya kami boleh bercuti dan bermain sekurang-kurangnya dua atau tiga hari sebelum keluar ke laut semula. Yeah…

Semakin hampir dengan kampung, semakin berdebar-debar hatiku. Adakah aku boleh diterima oleh mereka? Bagaimanakah rupanya kampung itu? Akhirnya kami sampai di sebuah lembah yang indah permai. Berlatarbelakangkan gunung ganang, rumah-rumah yang diperbuat daripada buluh berselerakan di sekitar lembah itu. Kami menuju ke sebuah rumah yang agak besar berbanding rumah-rumah lain. Anjungnya melengkung separa bulat. Di kaki tangga rumah itu ada seorang tua menunggu kami dengan senyuman. “Tok Wok! Tok Wok!”, jerit Cu Mas berlari-lari ke arah orang tua itu.

bersambung...